PERKEMBANGAN TERKINI KEJADIAN KERACUNAN METANOL DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kejadian keracunan metanol di Malaysia. Untuk makluman bermula dari 15 September sehingga 25 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 93 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Semenjak daripada 23 September 2018 12:00 tengahari, sebanyak enam (6) notifikasi kes baru yang telah diterima iaitu empat (4) dari negeri Perak dan satu (kes) masing-masing dari Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Dengan pertambahan ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di Kuala Lumpur adalah sebanyak 17 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada dua (2) kes manakala negeri Selangor dan negeri Perak kekal sebanyak 62 dan 12 kes masing-masing.

Terdapat empat (4) kematian keracunan metanol dilaporkan iaitu tiga (3) kematian dari Selangor dan satu (1) kematian dari Kuala Lumpur. Dengan pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol terkini adalah sebanyak 37 kematian, di mana sebanyak 11 kematian dari Kuala Lumpur, 23 kematian dari negeri Selangor dan tiga (3) dari negeri Perak.

Daripada pesakit yang menerima rawatan di hospital, terdapat lapan (8) pesakit yang telah didapati stabil dan didiscaj. Sebanyak 23 pesakit masih lagi menerima rawatan di 12 buah hospital di sekitar negeri Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Daripada 23 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital, lapan (8) pesakit adalah kes kritikal.

Berikut adalah taburan kes keracunan metanol mengikut kewarganegaraan sehingga 25 September 2018:

Kewarganegaraan Hidup Telah meninggal dunia Jumlah
 Bangladesh  8  2  10
 India   2  2  4
 Myanmar  10  11  21
 Nepal   23  8  31
 Indonesia  1  0 1
 Malaysia  12  10  22
 Tidak diketahui kewarganegaraan  0  4  4
 Jumlah   56 37  93

KKM sedang berusaha untuk menyebarluas maklumat berkaitan keracunan metanol ini kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang berisiko. Sesi penerangan dan pendidikan kesihatan berkaitan keracunan metanol disasarkan kepada pekerja-pekerja di kilang-kilang dan juga kepada ahli keluarga dan rakanrakan kes. Penyebaran maklumat adalah melalui edaran risalah, nasihat individu, sesi ceramah, temu bual di radio dan juga informasi secara infografik di media sosial.

Sehingga 25 September 2018, KKM melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 988 buah premis yang menjual arak di mana 4,489 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Masyarakat diseru untuk membawa segera ahli keluarga atau rakan-rakan yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol ke mana-mana klinik atau hospital terdekat untuk menerima rawatan.

KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 September 2018

  • bless
  • bpa
  • iim
  • jpa
  • mampu
  • msc
  • mygov
  • myidea
  • talent
  • visitperak
Jumlah Pelawat: 626005

Menu Berita Hospital Tapah

Waktu Lawatan

 

 

Kemaskini Terakhir:Rabu 26 September 2018, 15:25:49.